Monday, February 11, 2013

Kampungku Indah mendamaikan

Bersiaran dari kampung.

Indah kehidupan di kampung. Tenang, damai, aman, sejuk.

Tambahan pula, sekarang ini musim "angin timur". Angin yang agak kuat. Bestnya duduk di bawah pokok sambil berbual-bual. Cuma, angin ini membawa sedikit haba panas. Almaklum, sekarang musim kering atau musim kemarau. Sawah padi pun kosong. Padi dah dituai, tinggal orang membakar jerami. Lopak yang kebiasaan berair pun, banyak yang kering. 

Kalau dulu, sawah padi, jadi padang bola (anak remaja, main bola di petak sawah). Jerami habis dipijak, dilanyak oleh anak-anak yang menjadikan sawah padi sebagai tempat permainan. Padang bola. Hah...mainlah sepuas-puasnya. Jangan balik lebih dari pukul 7.00 sudah. Kalau tak, siap kena marah dengan mak.

Oh, rindunya zaman kanak-kanak dahulu. 

Tika waktu begini juga, pasti setiap petang akan bermain 'tuju tin' (anak-anak sekolah rendah), susun tin-tin susu yang kosong, atur setinggi tiga atau empat tingkat. Bola pula, ambil keketul batu yang sedang, balut dengan kertas banyak-banyak dan akhirnya di balut dengan plastik, agar jatuh dalam parit, masih boleh digunakan. Gumpalan bola sebesar genggaman tangan. Nah, siapa yang terkena, pasti akan mengeliat punya....sakit....(dulu semua nak geng dengan On (rakan sepermainan), sebab, kalau dia bantai (baling), kena mengeliat...kuat balingannya....jadi bila geng dengan dia, pastilah tidak kena...geng lawan yang kena....hahhaa.....siapa On, rakan sepermainan atau sekampung pasti tahu siapa On.)

Atau musim kering seperti ini juga mengorek tanah buat lubang congkak. Biasa bawah pokok la. Habis alu mak, kami gunakan. Tumbuk nak bagi lubang tu jadi bulat cantik. Kenal tak kalian dengan alu? Ala batang kayu yang digunakan untuk menumbuk tu. Biasa mak guna alu nak menumbuk beras bagi hancur. Nak buat kuih. Kemanakah alu di rumah ini menghilang? Sayangnya....

Rindunya saya dengan kehidupan di kampung. Masa tidak akan berpatah balik. 

Sesungguhnya saya amat rindu dengan kehidupan kampung yang dulu. Masa juga berjalan terasa lambat. Selepas makan tengahari, pasti kena tidur dulu. Pukul 4.00 baru bangun. Masa untuk main.... Kalau tak tidur, terasa sangat lambatnya nak petang atau nak malam. 

Musim orang ambil padi, seronoknya mengerat/memotong batang padi buat serunai.... banyak pepatung dan belalang berterbangan. Sekarang, pepatung dah tak nampak pun di kawasan sawah padi. Bila tiba musim patung banyak, ambil daun nyoq (kelapa), raut bagi tinggal lidi, dan kat hujung lidi salutkan getah pokok nangka. Kalau sedikit jahat, korek buah nangka tu, bagi keluar getah. Diam-diam perhati patung, sua atau halakan hujung lidi bagi kena pepatung. Nah dah kena...kumpul patung. Kalau dapat patung warna merah dan biru lagi seronok. Cantik.

Oh...saya sangat rindu.....

radziah AR

2 comments:

  1. Kat mana kg kak zie ? Saya pun blk kg suami di perlis. Cuaca lebih kurang sama ngn kg k zie. Best kan

    ReplyDelete
  2. nani, kg kzie kat Guar Chempedak, daerah yan

    ReplyDelete