Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku
telah didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih
besar dari keldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan
tubuhnya sehinggalah perut buraq tersebut mencecah bumi.
Baginda
bersabda lagi: Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya
sehinggalah sampai ke Baitulmuqaddis. Baginda bersabda lagi: Aku
mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para
Nabi.
Baginda bersabda lagi: Sejurus kemudian aku masuk
ke dalam masjid dan mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat. Setelah
selesai aku terus keluar, secara tiba-tiba aku didatangi dengan
semangkuk arak dan semangkuk susu oleh Jibril a.s. Aku memilih susu.
Lalu Jibril a.s berkata: Engkau telah memilih fitrah.
Lalu
Jibril a.s membawaku naik ke langit. Ketika Jibril a.s meminta agar
dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya: Siapakah engkau? Dijawabnya:
Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s
menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan?
Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Lalu dibukakan pintu
kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Adam a.s, beliau menyambutku
serta mendoakan aku dengan kebaikan.
Seterusnya aku
dibawa naik ke langit kedua. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu.
Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril.
Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab:
Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril
a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami.
Ketika aku bertemu dengan Isa bin Mariam dan Yahya bin Zakaria, mereka
berdua menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
Aku
dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril a.s meminta supaya dibukakan
pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya:
Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s
menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan?
Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan
kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf a.s ternyata dia telah
dikurniakan sebahagian dari keindahan. Dia terus menyambut aku dan
mendoakan aku dengan kebaikan.
Aku dibawa lagi naik ke
langit keempat. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran
suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s
ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril
a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya,
dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu
dengan Nabi Idris a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan
kebaikan. Firman Allah s.w.t Yang bermaksud: Dan kami telah mengangkat
ke tempat yang tinggi darjatnya.
Aku dibawa lagi naik ke
langit kelima. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran
suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s
ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril
a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya,
dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu
dengan Nabi Harun a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan
kebaikan.
Aku dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril
a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi:
Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah
bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi:
Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah
diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan
Nabi Musa a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
Aku
dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril a.s meminta supaya
dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya:
Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s
menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan?
Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan
kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s dia sedang
berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur. Keluasannya setiap hari
memuatkan tujuh puluh ribu malaikat. Setelah keluar mereka tidak
kembali lagi kepadanya. Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha.
Daun-daunnya besar umpama telinga gajah manakala buahnya pula sebesar
tempayan. Baginda bersabda: Ketika baginda merayau-rayau meninjau
kejadian Allah s.w.t, baginda dapati kesemuanya aneh-aneh. Tidak seorang
pun dari makhluk Allah yang mampu menggambarkan keindahannya.
Lalu
Allah s.w.t memberikan wahyu kepada baginda dengan mewajibkan solat
lima puluh waktu sehari semalam. Tatakala baginda turun dan bertemu Nabi
Musa a.s, dia bertanya: Apakah yang telah difardukan oleh Tuhanmu
kepada umatmu? Baginda bersabda: Solat lima puluh waktu. Nabi Musa a.s
berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan kerana umatmu
tidak akan mampu melaksanakannya. Aku pernah mencuba Bani Israel dan
memberitahu mereka. Baginda bersabda: Baginda kemudiannya kembali kepada
Tuhan dan berkata: Wahai Tuhanku, berilah keringanan kepada umatku.
Lalu Allah s.w.t mengurangkan lima waktu solat dari baginda.
Baginda
kembali kepada Nabi Musa a.s dan berkata: Allah telah mengurangkan lima
waktu solat dariku. Nabi Musa a.s berkata: Umatmu masih tidak mampu
melaksanakannya. Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan lagi.
Baginda bersabda: Baginda tak henti-henti berulang-alik antara Tuhan dan
Nabi Musa a.s, sehinggalah Allah s.w.t berfirman Yang bermaksud: Wahai
Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan hanyalah lima waktu sehari semalam.
Setiap solat fardu diganjarkan dengan sepuluh ganjaran. Oleh yang
demikian, bererti lima waktu solat fardu sama dengan lima puluh solat
fardu.
Begitu juga sesiapa yang berniat, untuk melakukan
kebaikan tetapi tidak melakukanya, nescaya akan dicatat baginya satu
kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan
baginya. Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan,
tetapi tidak melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun dicatat baginya.
Seandainya dia melakukannya, maka dicatat sebagai satu kejahatan
baginya. Baginda turun hingga sampai kepada Nabi Musa a.s, lalu aku
memberitahu kepadanya. Dia masih lagi berkata: Kembalilah kepada
Tuhanmu, mintalah keringanan. Baginda menyahut: Aku terlalu banyak
berulang alik kepada Tuhan, sehingga menyebabkan aku malu kepada-Nya.
(HR Muslim)
No comments:
Post a Comment